Saturday, July 23, 2011

BEGINI SAYANG (kisah 2)...

DI MANA ALLAH?


Humaira       : Ibu, ALLAH duduknya di mana?

Ibu              : Sebenarnya ALLAH sangat dekat dengan kita, sayang. ALLAH ada di mana-mana sahaja.



“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
- Surah Al-Baqarah; ayat 186 –



Humaira       : ALLAH ada rumah tidak, ibu?

Si Ibu terdiam seketika. Mana mungkin dia bercerita  tentang Arasy ALLAH seperti dalam Surah Al-Furqan, ayat yang ke-59:



“Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang ALLAH) kepada yang lebih tahu (Muhammad) tentang Dia.”



Ibu              : ALLAH tiada rumah macam kita, sayang. ALLAH ada bersama-sama kita.

Humaira       : Eh, dulu ayah kata Kaabah itu rumah ALLAH. ALLAH tak duduk di situkah?

Ibu              : Memang betul Kaabah itu dipanggil sebagai rumah ALLAH. Tetapi ALLAH hebat, ALLAH tak perlukan rumah macam kita. ALLAH tak perlu duduk di situ. Kaabah itu arah kita solat. Jadi bila semua orang Islam solat, semua akan menghadap Kaabah. Mudahlah sikit, bukan?

Humaira menunjukkan wajah keliru.

Ibu              : Okey, sekarang cuba Humaira bayangkan. Kalau kita solat jemaah, ibu solat menghadap sana, ayah menghadap sini, Humaira pula menghadap belakang (sambil tangan menunjukkan arah-arah yang bertentangan). Mesti pening! Betul, tidak?

Humaira       : Isy,,,tak boleh, tak boleh!

Ibu              : Betul, mana boleh solat macam itu. Sebab itu ALLAH perintahkan kita solat menghadap kiblat, supaya apabila solat semua orang akan menghadap satu tempat saja. Jadi, manusia tak akan bergaduhlah apabila nak solat. Humaira faham tak sekarang ni kenapa adanya Kaabah? Kaabah bukan rumah tempat ALLAH tinggal, tapi tempat orang Islam menghadap semasa beribadat.

Humaira       : Oh, begitu. Habis, ALLAH tinggal di mana?

Ibu              : ALLAH ada di mana-mana sahaja, sayang. Dia sangat dekat dengan kita, sebab itulah apabila kita berdoa ALLAH dengar. Apabila kita susah, ALLAH tolong. Apabila kita sakit, ALLAH sembuhkan. Betul tak? Oleh sebab itu, kita mesti sentiasa buat apa yang ALLAH suruh, dan apa yang ALLAH marah kita tak boleh buat.

Humaira mengangguk.




* Dalam mengajar anak-anak tentang ALLAH, pelbagai persoalan yang ganjil-ganjil daripada mereka akan timbul, terutamanya tentang akidah dan hakikat kewujudan-Nya. Deria mereka masih mentah untuk mengimani perkara-perkara ghaib. Justeru, kitalah bertanggungjawabuntuk memperjelaskan persoalan akidah yang sukar dengan menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami. Di samping itu, contoh-contoh yang boleh dibayangkan oleh anak-anak juga penting kerana anak-anak kecil suka berimaginasi. Oleh itu, sebelum menjawab, fikirkan dahulu dengan bersungguh-sungguh supaya kefahaman anak-anak tidak bercelaru.

0 comments: