Wednesday, August 3, 2011

BEGINI SAYANG (kisah 3)...

Bagaimana Cara Minta Maaf Daripada Allah?

Suatu hari, selepas solat Maghrib di surau,,,
Ayah            : Cuba Humaira baca Surah Al-Zalzalah. Ayah nak dengar.

Humaira       : Okey, tapi lepas tu ayah cerita pasal Surah Al-Zalzalah tau.

Ayah            : Okey.

Humaira       : “Bismillahirrahmanirrahim. Izazulzilatilarduzilzalaha...”.


Selesai bacaannya, si Ayah membacakan dengan ringkas terjemahan ayat-ayat dari Surah Al-Zalzalah.

Ayah            : Dalam Surah Zalzalah, ALLAH cerita pasal hari kiamat. Masa hari kiamat, semua manusia yang telah mati, ALLAH akan hidupkan semula semuanya. Selepas itu, semua ALLAH akan arahkan untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Humaira       : Padang Mahsyar itu di mana, ayah?

Ayah            : Padang Mahsyar itu, satu tempat yang luas. Ayah sendiri tak tahu mana letaknya (jawab si Ayah dengan jujur dan secara ringkas). Di Mahsyar, ALLAH akan balas semua perbuatan kita di dunia ni. Kalau kita buat baik sedikit pun ALLAH akan balas. Kalau Humaira kutip sampah sekecil ini pun ALLAH akan kira sebagai pahala (sambil tangan mengutip cebisan kertas halus di atas lantai surau).

Humaira       : Yakah, ayah? (sambil melihat ke kiri dan ke kanan) Ayah, tong sampah di mana? Maira nak pergi buang sampah.

Ayah            : Tahi cicak ini, Humaira buang di luar sana (sambil menunjukkan ke arah kawasan tidak berturap di luar surau). Alhamdulillah, sekarang Humaira dah dapat satu pahala. Mudah bukan?

Puji si Ayah dengan senyuman yang manis. Wajah Humaira kelihatan ceria sekali dapat berbuat amal kebaikan pada malam itu.

Ayah            : Humaira, duduk. Mari ayah sambung cerita.  Semua kebaikan tak kira kecil atau besar, contohnya, Humaira senyum pada ibu dengan ayah, tolong kawan-kawan, salam dengan cikgu ketika sampai dan pulang, semuanya ALLAH akan beri pahala. Apabila kita dapat banyak pahala, harapnya ALLAH akan masukkan kita ke dalam syurga.

Humaira       : Ha, dalam syurga ada aiskrim bukan, ayah? Ada sungai yang kita boleh mandi, bukan?

Ayah            : Ya, semua ada. Semua Humaira boleh dapat. Kalau Humaira nak masuk syurga, kena selalu minta maaf dengan ALLAH, dan kena selalu minta dengan ALLAH supaya ALLAH beri Humaira masuk syurga.

Humaira       : Macam mana nak minta maaf dengan ALLAH, ayah?

Ayah            : Okey. Kalau Humaira nak minta aiskrim atau mainan dengan ayah, macam mana Humaira minta?

Humaira       : Ayah… Humaira nak aiskrim, boleh? (sambil tersengih dan malu-malu)

Ayah            : Sama jugalah kalau Humaira nak minta dengan ALLAH. Sekarang cuba Humaira minta maaf dan minta masuk syurga dengan ALLAH pula.


Si Ayah cuba mengajarkan Humaira konsep doa yang sebenar iaitu doa dari hati yang penuh sedar dan permintaan yang penuh dengan pengharapan.

Humaira       : ALLAH… Humaira minta maaf banyak-banyak. Humaira nak masuk syurga. Humaira takut masuk neraka, nanti kena bakar dengan api. Tolonglah.

Ucap Humaira dengan suara yang halus tapi penuh dengan harapan dari hati yang jernih daripada dosa. Wajahnya sayu dan kepalanya ditundukkan.

Humaira       : ALLAH... Humaira nak masuk syurga sangat-sangat. Tolonglah Humaira.....



* Anak-anak perlu di ajar untuk berdoa sejak kecil lagi. Bukan hanya sekadar mengajar doa-doa di dalam Bahasa Arab, tetapi ajarkan juga konsep doa sebenar kepada mereka iaitu permintaan penuh pengharapan kepada ALLAH. Ketika usia mereka masih di peringkat awal kanak-kanak, tidak perlu kita bebankan mereka dengan hafalan doa yang panjang agar mereka tidak merasa bosan. Pada usia sebegini, mereka perlu dilentur dengan doa-doa yang mudah dahulu dan kita perlu sentiasa ingatkan mereka untuk sentiasa berdoa dalam apa jua situasi seperti ketika menaiki kenderaan, memakai pakaian, dan sebagainya.





0 comments: