Suatu malam di malam bulan Ramadhan,,,
Ayah : Humaira nak ikut ayah solat tarawih kat surau tak malam ni?
Humaira : Nak, nak. Tapi ayah, solat tarawih itu macam mana?
Ayah : Solat tarawih itu, kita buat lapan rakaat, dengan salam setiap dua rakaat. Lepas dua rakaat kita rehat, lepas itu solat, lepas itu rehat lagi, kemudian solat lagi sampailah cukup lapan rakaat.
Humaira : Ayah, Humaira masih tak fahamlah. Macam mana?
Ayah : Kalau tak faham, tak mengapa. Sekejap lagi kita ke surau dan Humaira ikut imam masa solat. Senang sahaja. Humaira jangan risau.
Humaira : Hmmmm… baiklah. Tapi, kenapa sebelum ini ayah tak pernah solat tarawih pun?
Ayah : Ohhh…tarawih itu dalam bulan puasa sahaja, sayang. Bukankah kita baru mula berpuasa hari ini?
Humaira : Tapi, kenapa ayah? Kenapa tarawih dalam bulan puasa sahaja?
Ayah : Ha… sebabnya dalam puasa ini, ALLAH nak beri banyak hadiah yang istimewa untuk kita. Cuma, hadiah itu ALLAH akan beri pada orang yang puasa, malamnya dia rajin solat tarawih, rajin baca Al-Quran, rajin tolong kawan-kawan, hormat pada guru dan tak bising masa solat.
Humaira : Wah, seronoknya! Ayah, malam ni Humaira nak ikut ayah, ya?
Ayah : Boleh. Tapi kalau Humaira nak ikut ayah hari ini, kena bawa telekung dan solat baik-baik, dan pastikan jangan bising. Masa orang solat, kena solat juga sama-sama.
Humaira : Boleh, ayah. Nanti Humaira solat elok-elok.
Tiba di surau,,,
Ayah : Humaira ingat pesan ayah tadi. Kalau bising, lepas ini ayah tak akan bawa Humaira ke surau lagi. Ingat, ya?
Humaira : Baik ayah, Humaira ingat.
Selesai lapan rakaat, kelibat Humaira masih belum kelihatan. Lalu si Ayah mengintai ke tempat solat perempuan. Melalui celah tabir kelihatan wajah Humaira yang agak kelat sedang mengangkat takbir. Terlihat ayahnya sedang mengintai, Humaira tidak jadi solat dan terus berlari ke arah ayahnya.
Ayah : Eh, Humaira solat tarawih?
Humaira : Humaira solat dengan Fatimah, kawan Humaira. Banyak Humaira solat ayah, dah sepuluh kali. Sampai lenguh kaki ni.
Ayah : Humaira tak main dengan kawan-kawan?
Humaira : Tak, ayah. Bukan ayah pesan suruh solat tadi? Nanti kalau Humaira main, ayah tidak mahu bawa Humaira ke surau lagi. Humaira solat banyak-banyak sebab nak dapat hadiah dari ALLAH. Humaira nak masuk syurga.
Ayah : Insya-ALLAH. Bagusnya Humaira malam ini. Mesti ALLAH akan beri banyak pahala.
Humaira : Ayah, banyak lagikah? Humaira dah letih, kaki Humaira dah lenguh, Humaira dah mengantuk.
Ayah : Baiklah, jom kita balik dulu. Nanti esok ayah belikan hadiah aiskrim, sebab Humaira solehah sangat malam ini.
* Membiasakan anak-anak dengan suasana ibadah sejak awal usia adalah satu aspek yang cukup penting dalam pendidikan anak-anak. Keberkatan suasana yang soleh akan melentur dan membentuk jiwanya untuk membesar menjadi manusia tang cinta kepada ibadah. Namun harus di ingat, jangan dipaksakan ibadah yang berat-berat, kelak mereka akan merasa jemu. Biarlah mereka berpada-pada dengan yang mudah dan sedikit, agar yang sedikit itu lama-lama akan menjadi gunung.
0 comments:
Post a Comment