Showing posts with label ...CINTA.... Show all posts
Showing posts with label ...CINTA.... Show all posts

Thursday, April 28, 2011

DOA JODOH....



Ya Allah..
Seandainya telah Engkau catatkan..
Dia milikku tercipta buatku..
Satukanlah hatinya dgn hatiku..
Titipkanlah kebahagiaan antara kami..
Agar kemesraan itu abadi...

Ya Allah...
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi..
Seiringkanlah kami melayari hidup ini...
Ke tepian yang sejahtera dan abadi..
Maka jodohkanlah kami...

Tetapi Ya Allah...
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku...
Bawalah dia jauh dari pandanganku...
Luputkanlah dia dari ingatanku...
Dan peliharalah aku dari kekecewaan...

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti...
Berikanlah aku kekuatan...
Menolak bayangannya jauh ke dada langit...
Hilang bersama senja yang merah...
Agarku sentiasa tenang...
Walaupun tanpa bersama dengannya;

Ya Allah yang tercinta...
Pasrahkanlah aku dengan takdir-MU...
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku...
Sesungguhnya Engkau maha mengetahui...
Segala yang terbaik buat hamba-MU ini...

Ya Allah...
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaanku...
Di dunia dan akhirat...
Dengarkanlah rintihan dari hamba-MU yang daif ini...
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian..
Di dunia ini walaupun akhirat...
Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran...
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman...
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup...
Ke jalan yang Engkau redhai...
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah...

Ya Allah...
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat...
Dan peliharalah kami dari azab api Neraka...

Amin...amin...Ya rabbal alamin...



Tuesday, December 21, 2010

CINTA MENCARI LELAKI...

     

            CINTA tidak tahu apa punca Dia meminta perhubungan mereka diputuskan. Apakah kerana bicara Cinta yang sering lunak itu, dirasakan Dia pedih menyembilu hati? Apakah kerana tingkah laku Cinta yang lemah-lebut itu, dirasakan Dia tajam menghiris atma?

         Cinta cuba memuhasabah diri, mencari justifikasi tindakan Dia mengorbankan ikatan cinta yang terjalin sekian lama. Cinta menekur selusur perjalanan cinta yang mekar seusia lima tahun itu. Cinta terkedu, menggapai-gapai punca yang dirasakan berpilin-pilin. Sungguh, Cinta tidak menemukan sebab yang meretakkan cermin cinta mereka.

       Cinta akur, diri belum cukup sempurna sebagai Muslimah sejati [kalau itulah yang Dia hasratkan]. Apakah kerana Cinta tidak berjubah? Apakah kerana Cinta tidak bertudung labuhnya hingga ke punggung? Apakah kerana itu, maka Dia menoleh ke arah lain, memacu perjalanan meninggalkan Cinta?

         Cinta bukanlah alim, tetapi Cinta mengetahui, Cinta sudah memenuhi tuntutan syariat. Meski berbaju kurung, tetapi Cinta sudah pun menutup aurat. Meski bertudung tiga segi, tetapi hujungnya sudah melindungi dada Cinta. Cinta tidak alim, tetapi Cinta mengetahui ulama berselisih pendapat menerangkan aurat wanita. Dari pembelajaran Cinta, Cinta mengetahui hanya ulama’ Hanabilah yang mengatakan seluruh tubuh badan wanita itu aurat, sedangkan fuqaha’ Hanafiah, Syafi’iyah, Malikiyah dan riwayat daripada Imam Ahmad mengecualikan wajah dan tapak tangan daripada pengertian aurat.

        Justifikasi pandangan itulah, maka Cinta berpakaian seperti sekarang ini, baju kurung dan tudung tiga segi yang masih menutupi dadanya. Apakah kerana kefahaman Cinta mendekati jumhur ulama’ itu maka Dia meninggalkan Cinta?

        Atma Cinta berdebat, bukan itu yang menjadi punca Dia bertindak begitu. Meski Dia agak memberatkan soal itu, tetapi Dia masih bertolak-ansur. Bukankah ulama’ pelbagai mazhab itu sudah bertolak-ansur sehingga tidak ada di kalangan mereka merendahkan pandangan yang berbeza? Bukankah Dia juga mengerti, Cinta berhak membuat keputusan berdasarkan pandangan yang rajih itu, meski Dia berpendapat sebaliknya? Kalaulah kerana itu puncanya, mengapa sekarang Dia beralih kasih?

          Apakah kerana ibunya tidak menyukai Cinta? Mengapa pula si ibu yang baik itu tidak menyukai Cinta? Sudah beberapa kali Cinta mengunjungi keluarga Dia, dan sudah beberapa kali pula Cinta dilayan dengan baik. Bukankah itu isyarat Cinta diterima keluarganya?

         Memang, memang sudah ada ura-ura, Dia mahu dijodohkan dengan sepupunya. Cinta akui, antara Cinta dan sepupunya itu, anak gadis itu lebih alim lagi. Sepupunya menuntut hingga ke Perlembahan Nil, berguru dengan pensyarah-pensyarah al-Azhar dan bergaul dengan kitab-kitab turath. Cinta, Cinta hanya lepasan ITM dalam jurusan reka bentuk fesyen. Tetapi, Cinta juga ada asas agama. Cinta menuntut di Ma’ahad Muhammadi Lilbanat meski hanya sehingga SPM. Cinta tahu batas-batas agama sehingga Cinta sehingga sekarang masih lagi berkostum hijab.

        Tetapi, bukankah Dia sendiri menolak desas-desus itu, kerana Dia hanya menganggap sepupunya itu seperti adik kandung sendiri yang tidak mungkin Dia menyentuhnya sebagai isteri. Dan, bukankah si ibu juga memahami dan menerima hasrat Dia itu, lalu memperkenalkan Cinta kepada keluarganya.

       Apakah kerana Cinta seorang pereka fesyen, maka Cinta dianggap menyeleweng? Apakah kerana di tangan Cinta, citra wanita untuk kelihatan cantik terkabul, maka Cinta dianggap sudah lancang pada agamanya?

       Cinta geleng. Cinta yakin tentu bukan itu sebabnya. Meski Cinta pereka fesyen, tetapi bukankah itu bermakna Cinta menanggung fardu kifayah kepada seluruh umat Islam? Cinta sendiri tidak pernah mereka fesyen yang mencabar ketentuan syara’, bahkan fesyen Cinta bertepatan dengan kehendak agama.

      Apakah kerana wujud orang ketiga, maka Dia beralih kasih. Serapuh itukah cinta Dia pada Cinta? Serapuh ranting yang terlerai ditegur bayukah, cinta Dia selama iniBarangkali juga itulah sebab musabab Dia meninggalkan Cinta. Benarkah?

       Cinta tinggalkan kisah pedih itu, meski menjerut atma. Cinta tidak temui jalan kepada cinta mereka, tetapi tentulah tidak wajar Cinta mematikan diri dalam perjalanan hidup Cinta. Biarlah, andai Dia sudah tidak memerlukan Cinta, maka Cinta merelakan perpisahan itu. Biarlah Cinta derita sekarang, daripada Cinta derita selepas perkahwinan. Derita sekarang tentulah mencarik sutera perasaan, tetapi derita selepas perkahwinan tentulah menggegarkan mahligai perasaan.

        Kawan Cinta, Gihairah cuba menghasut Cinta. Kau terlalu beku dalam perhubungan kalian. Lihatlah aku, merelakan diri dikucup dan diraba, hingga menjelajah ke pelusuk terlarang.

           Cinta menjenggil mata, serapuh itukah nilai diri?

     Gihairah menggilai, ala bukannya luak pun. Hanya setakat dikucup dan diraba, tidak sehingga menerobos hingga ke.…

       Cinta tutup telinga, tidak mahu mendengar kalimat selancang itu. Apakah maruah itu pada selaput dara? Apakah kerana selaput dara tidak terganggu, tetapi seluruh penjuru berbukit dan berlurah sudah dijarah, maka maruah masih bernama? Apakah hanya apabila selaput itu diterobos, maka pada saat itu maruah pun sudah terlepas? Bagi Cinta, selaput itu bukanlah maruah pada hakikatnya. Selaput itu hanya sebahagian petanda wujudnya maruah. Apabila wanita merelakan diri dicumbu tangan dan bibir lelaki tanpa ikatan yang sah, tidak ada gunanya maruah meski selaput yang tipis itu masih terjaga.

          Cinta meninggalkan Gihairah, meyakini wanita itu bukan penasihat yang baik.

      Cinta mengerti, suatu hari nanti Cinta akan dipertemukan dengan lelaki yang dapat menerima Cinta sebagai Cinta.

        DI MANAKAH LELAKI ITU? 

       CINTA MENGHARAPKAN JAWAPAN.


*** hanya Yang Maha Satu lebih mengetahui jwpn kepada persoalan tersebut

Thursday, December 2, 2010

SENI CINTA SEJATI...

Ramai orang percaya bahawa cinta tiada diikat oleh seni. Malah ada pujangga yang berkata bahawa cinta lebih tinggi dari segala peraturan. Pada hakikatnya cinta ada seninya untuk membezakannya dari yang lain. Jika tinggi seni cinta itu, dan dipraktikkan seni itu, maka tinggilah nilai cinta itu. Sesungguhnya nilai estetika cinta tidak boleh dipisahkan dari nilai etikanya. Jika dipisahkan, maka cinta itu akan jadi tempang dan buta.


Berikut adalah Seni Cinta Sejati untuk anda praktikkan :-

Seni Berfikir

Ø  Cinta Sejati itu tidak buta. Cinta itu dikurniakan kepada makhluk yang berakal. Kerana cinta memerlukan akal bagi menilainya dari sudut mutu etikanya.

Ø  Cinta itu bukanlah segala-galanya.Walaupun ia penting dalam hidup,iman yang lebih penting dari cinta. Dengan adanya iman,barulah anda boleh mencintai dengan Cinta Sejati. Cinta juga perlu kpd akal kerana cinta tergolong kepada hal nafsu.

Ø  Cinta perlu kepada pedoman atau peraturan. Tanpa pedoman,cinta akan buta dan meraba-raba. Cinta Sejati tidak pernah menolak pedoman dan tidak lupa pada pedoman hidup,iaitu ISLAM.

Ø  Cinta itu amanah. Ia bukan hak anda. Sebagaimana halnya dengan diri anda,cinta juga adalah amanah. Tidak wajar untuk anda jadikan amanah untuk memusnahkan atau memungkiri amanah yang lain.

Ø  Cinta Sejati itu sifatnya total. Ertinya walaupun anda cinta kepada kekasih anda, ia hanya sebahagian dari cinta yang menyeluruh. Cinta Sejati itu adalah cinta kepada Pencipta anda, cinta pada diri anda, cinta kepada ibu bapa anda, cinta kepada masyarakat anda, cinta kepada agama anda, dan dalam masa yang sama cinta kepada kekasih anda. Kerana sifatnya total dan menyeluruh, maka Cinta Sejati akan menjadi adil. Ia meletakkan cinta pada yang berhak untuk dicintai dan setakat mana patut dicintai. Ia tidak melebihkan cinta kepada kekasih saja hinggakan lupa pada cinta yang lain.

Ø  Cinta Sejati tidak perlu disebut. Ia khas untuk anda.Ia bukan hak orang lain. Jika anda beri Cinta Sejati, ia tidak semestinya dibalas oleh orang yang anda beri. Tapi anda tidak akan kecewa bila cinta tidak berbalas kerana anda tahu anda bercinta di bawah naungan Pencipta, yang tentu membalas kebaikan terhadap cinta anda yang putih bersih.


Seni Merasa

Ø  Cinta yang DInikmati sedikit demi sedikit berkat kesabaran itulah yang lebih membahagiakan. Anda tidak perlu gelojoh dalam cinta. Ini kerana jika anda gelojoh, anda mungkin seronok sebentar saja tapi merana sepanjang hayat.

Ø  Merasa Cinta Sejati terhadap kekasih ialah mentakrif nikmat peringkat kedua, yang sederhana sifatnya,tidak melampau-lampau. Anda tidak terlalu terbawa-bawa oleh perasaan bila cinta anda sejati. Anda masih boleh membuat pertimbangan yang wajar.

Ø  Jika kecewa bercinta, jangan hingga berputus asa,kerana rahmat Pencipta masih dikurniakan untuk anda. Cubalah rasai betapa beruntungnya anda mengecapi nikmatNya yang lain, dan bersyukurlah kepadaNya.


Seni Bertindak

Ø  Jangan mendahului ketentuan. Anda perlu banyak bersabar dalam bercinta. Bila sampai masanya anda akan dihalalkan untuk membuktikan cinta, barulah anda membuktikannya itulah Cinta Sejati.

Ø  Jikalau bercinta sebelum berkahwin, layanilah sekadar saja. Yang penting ialah menikahi kekasih anda, itulah ertinya menerima cintanya, kerana nikah adalah ikatan cinta.

Ø  Andai kata anda bercinta sebelum berkahwin dan kekasih anda mahu merosakkan kehormatan anda, jauhilah dia dan jangan rasa kesal akibat kehilangannya. Mudah- mudahan anda akan mendapat kekasih yang jauh lebih memahami Cinta Sejati dan tulus dalam cintanya terhadap anda.

Ø  Manifestasikan cinta anda hanyalah setelah bernikah. Berdoalah agar cinta itu diberkatiNya dan sentiasa mendapat rahmatNya. Pohonlah kepadaNya agar dikurniakan kepada anda nikmat Cinta Sejati yang tiada taranya.


Cinta Sejati atau Cinta Suci itu tidak buta. Cinta ini celik dan kecelikan cinta itu dapat mencelikkan pula yang lain. Cinta Sejati tidak buta dan tidak wajar dikatakan buta. Cinta yang buta ialah cinta yang bernoda.

Cinta yang buta itu segalanya buta. Buta tentang cara dan peraturan cinta, buta tentang tanggungjawap cinta, buta tentang hikmah cinta, malah buta tentang hakikat diri. Cinta yang buta itu cacat,kerana ia buta.

Sayangnya ramai yang suka kepada cinta buta, membiarkan dirinya hanyut dibawa arus geloranya, tersadai di celah akar pohon kecewa, lalu berkata, 'Cinta Itu Buta'.

Cinta Sejati bukan seperti cinta Laila dan Majnun atau Romeo dan Juliet. Cinta Suci adalah seperti cinta Rasulullah dan Khadijah, atau Saidina Ali dan Fatimah.