CINTA tidak tahu apa punca Dia meminta perhubungan mereka diputuskan. Apakah kerana bicara Cinta yang sering lunak itu, dirasakan Dia pedih menyembilu hati? Apakah kerana tingkah laku Cinta yang lemah-lebut itu, dirasakan Dia tajam menghiris atma?
Cinta cuba memuhasabah diri, mencari justifikasi tindakan Dia mengorbankan ikatan cinta yang terjalin sekian lama. Cinta menekur selusur perjalanan cinta yang mekar seusia lima tahun itu. Cinta terkedu, menggapai-gapai punca yang dirasakan berpilin-pilin. Sungguh, Cinta tidak menemukan sebab yang meretakkan cermin cinta mereka.
Cinta akur, diri belum cukup sempurna sebagai Muslimah sejati [kalau itulah yang Dia hasratkan]. Apakah kerana Cinta tidak berjubah? Apakah kerana Cinta tidak bertudung labuhnya hingga ke punggung? Apakah kerana itu, maka Dia menoleh ke arah lain, memacu perjalanan meninggalkan Cinta?
Cinta bukanlah alim, tetapi Cinta mengetahui, Cinta sudah memenuhi tuntutan syariat. Meski berbaju kurung, tetapi Cinta sudah pun menutup aurat. Meski bertudung tiga segi, tetapi hujungnya sudah melindungi dada Cinta. Cinta tidak alim, tetapi Cinta mengetahui ulama berselisih pendapat menerangkan aurat wanita. Dari pembelajaran Cinta, Cinta mengetahui hanya ulama’ Hanabilah yang mengatakan seluruh tubuh badan wanita itu aurat, sedangkan fuqaha’ Hanafiah, Syafi’iyah, Malikiyah dan riwayat daripada Imam Ahmad mengecualikan wajah dan tapak tangan daripada pengertian aurat.
Justifikasi pandangan itulah, maka Cinta berpakaian seperti sekarang ini, baju kurung dan tudung tiga segi yang masih menutupi dadanya. Apakah kerana kefahaman Cinta mendekati jumhur ulama’ itu maka Dia meninggalkan Cinta?
Atma Cinta berdebat, bukan itu yang menjadi punca Dia bertindak begitu. Meski Dia agak memberatkan soal itu, tetapi Dia masih bertolak-ansur. Bukankah ulama’ pelbagai mazhab itu sudah bertolak-ansur sehingga tidak ada di kalangan mereka merendahkan pandangan yang berbeza? Bukankah Dia juga mengerti, Cinta berhak membuat keputusan berdasarkan pandangan yang rajih itu, meski Dia berpendapat sebaliknya? Kalaulah kerana itu puncanya, mengapa sekarang Dia beralih kasih?
Apakah kerana ibunya tidak menyukai Cinta? Mengapa pula si ibu yang baik itu tidak menyukai Cinta? Sudah beberapa kali Cinta mengunjungi keluarga Dia, dan sudah beberapa kali pula Cinta dilayan dengan baik. Bukankah itu isyarat Cinta diterima keluarganya?
Memang, memang sudah ada ura-ura, Dia mahu dijodohkan dengan sepupunya. Cinta akui, antara Cinta dan sepupunya itu, anak gadis itu lebih alim lagi. Sepupunya menuntut hingga ke Perlembahan Nil, berguru dengan pensyarah-pensyarah al-Azhar dan bergaul dengan kitab-kitab turath. Cinta, Cinta hanya lepasan ITM dalam jurusan reka bentuk fesyen. Tetapi, Cinta juga ada asas agama. Cinta menuntut di Ma’ahad Muhammadi Lilbanat meski hanya sehingga SPM. Cinta tahu batas-batas agama sehingga Cinta sehingga sekarang masih lagi berkostum hijab.
Tetapi, bukankah Dia sendiri menolak desas-desus itu, kerana Dia hanya menganggap sepupunya itu seperti adik kandung sendiri yang tidak mungkin Dia menyentuhnya sebagai isteri. Dan, bukankah si ibu juga memahami dan menerima hasrat Dia itu, lalu memperkenalkan Cinta kepada keluarganya.
Apakah kerana Cinta seorang pereka fesyen, maka Cinta dianggap menyeleweng? Apakah kerana di tangan Cinta, citra wanita untuk kelihatan cantik terkabul, maka Cinta dianggap sudah lancang pada agamanya?
Cinta geleng. Cinta yakin tentu bukan itu sebabnya. Meski Cinta pereka fesyen, tetapi bukankah itu bermakna Cinta menanggung fardu kifayah kepada seluruh umat Islam? Cinta sendiri tidak pernah mereka fesyen yang mencabar ketentuan syara’, bahkan fesyen Cinta bertepatan dengan kehendak agama.
Apakah kerana wujud orang ketiga, maka Dia beralih kasih. Serapuh itukah cinta Dia pada Cinta? Serapuh ranting yang terlerai ditegur bayukah, cinta Dia selama ini? Barangkali juga itulah sebab musabab Dia meninggalkan Cinta. Benarkah?
Cinta tinggalkan kisah pedih itu, meski menjerut atma. Cinta tidak temui jalan kepada cinta mereka, tetapi tentulah tidak wajar Cinta mematikan diri dalam perjalanan hidup Cinta. Biarlah, andai Dia sudah tidak memerlukan Cinta, maka Cinta merelakan perpisahan itu. Biarlah Cinta derita sekarang, daripada Cinta derita selepas perkahwinan. Derita sekarang tentulah mencarik sutera perasaan, tetapi derita selepas perkahwinan tentulah menggegarkan mahligai perasaan.
Kawan Cinta, Gihairah cuba menghasut Cinta. Kau terlalu beku dalam perhubungan kalian. Lihatlah aku, merelakan diri dikucup dan diraba, hingga menjelajah ke pelusuk terlarang.
Cinta menjenggil mata, serapuh itukah nilai diri?
Gihairah menggilai, ala bukannya luak pun. Hanya setakat dikucup dan diraba, tidak sehingga menerobos hingga ke.…
Cinta tutup telinga, tidak mahu mendengar kalimat selancang itu. Apakah maruah itu pada selaput dara? Apakah kerana selaput dara tidak terganggu, tetapi seluruh penjuru berbukit dan berlurah sudah dijarah, maka maruah masih bernama? Apakah hanya apabila selaput itu diterobos, maka pada saat itu maruah pun sudah terlepas? Bagi Cinta, selaput itu bukanlah maruah pada hakikatnya. Selaput itu hanya sebahagian petanda wujudnya maruah. Apabila wanita merelakan diri dicumbu tangan dan bibir lelaki tanpa ikatan yang sah, tidak ada gunanya maruah meski selaput yang tipis itu masih terjaga.
Cinta meninggalkan Gihairah, meyakini wanita itu bukan penasihat yang baik.
Cinta mengerti, suatu hari nanti Cinta akan dipertemukan dengan lelaki yang dapat menerima Cinta sebagai Cinta.
DI MANAKAH LELAKI ITU?
CINTA MENGHARAPKAN JAWAPAN.
*** hanya Yang Maha Satu lebih mengetahui jwpn kepada persoalan tersebut
0 comments:
Post a Comment