Monday, August 8, 2011

KISAH SI PENGGALI KUBUR...


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s.w.t.  Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."


Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. “Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s.w.t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s.w.t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, “Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, “Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya.  Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika  sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain."

          Pemuda itu menyambung lagi, “Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Pabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." “Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi. 


         “Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?"  Jawab ahli ibadah itu, “Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s.w.t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

           “Ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. “Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut. 

         “Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya." “Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

          “Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, “Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."


          Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s.w.t kita datang dan kepadaNya  jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

Wednesday, August 3, 2011

DUA KEMUNGKINAN...

Dalam hidup ini ada 2 kemungkinan...

... Iaitu kemungkinan kita akan sihat dan kemungkinan kita akan sakit ....
... jika kita sihat, alhamdulillah...


… Tapi jika kita sakit, ada 2 lagi kemungkinan...
... kemungkinan kita akan sakit sikit-sikit seperti batuk atau selesema atau kemungkinan kita akan sakit kuat...
... jika kita sakit sikit-sikit seperti batuk atau selesema, alhamdulillah...


… Tapi jika kita sakit kuat, ada 2 lagi kemungkinan...
... kemungkinan kita akan sembuh atau kemungkinan kita akan mati...
... jika kita sembuh, alhamdulillah...


… Tapi jika kita mati, ada 2 lagi kemungkinan...
... kemungkinan kita akan mati dalam keadaan bersedia untuk bertemu Allah swt dengan segala bekalan dan persiapan atau kemungkinan kita akan mati sia-sia...
... jika kita mati dalam keadaan bersedia untuk bertemu Allah swt dengan segala bekalan dan persiapan, alhamdulillah...


TAPI JIKA KITA MATI SIA-SIArenung-renungkanlah....

Wallahua'lam



BEGINI SAYANG (kisah 3)...

Bagaimana Cara Minta Maaf Daripada Allah?

Suatu hari, selepas solat Maghrib di surau,,,
Ayah            : Cuba Humaira baca Surah Al-Zalzalah. Ayah nak dengar.

Humaira       : Okey, tapi lepas tu ayah cerita pasal Surah Al-Zalzalah tau.

Ayah            : Okey.

Humaira       : “Bismillahirrahmanirrahim. Izazulzilatilarduzilzalaha...”.


Selesai bacaannya, si Ayah membacakan dengan ringkas terjemahan ayat-ayat dari Surah Al-Zalzalah.

Ayah            : Dalam Surah Zalzalah, ALLAH cerita pasal hari kiamat. Masa hari kiamat, semua manusia yang telah mati, ALLAH akan hidupkan semula semuanya. Selepas itu, semua ALLAH akan arahkan untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Humaira       : Padang Mahsyar itu di mana, ayah?

Ayah            : Padang Mahsyar itu, satu tempat yang luas. Ayah sendiri tak tahu mana letaknya (jawab si Ayah dengan jujur dan secara ringkas). Di Mahsyar, ALLAH akan balas semua perbuatan kita di dunia ni. Kalau kita buat baik sedikit pun ALLAH akan balas. Kalau Humaira kutip sampah sekecil ini pun ALLAH akan kira sebagai pahala (sambil tangan mengutip cebisan kertas halus di atas lantai surau).

Humaira       : Yakah, ayah? (sambil melihat ke kiri dan ke kanan) Ayah, tong sampah di mana? Maira nak pergi buang sampah.

Ayah            : Tahi cicak ini, Humaira buang di luar sana (sambil menunjukkan ke arah kawasan tidak berturap di luar surau). Alhamdulillah, sekarang Humaira dah dapat satu pahala. Mudah bukan?

Puji si Ayah dengan senyuman yang manis. Wajah Humaira kelihatan ceria sekali dapat berbuat amal kebaikan pada malam itu.

Ayah            : Humaira, duduk. Mari ayah sambung cerita.  Semua kebaikan tak kira kecil atau besar, contohnya, Humaira senyum pada ibu dengan ayah, tolong kawan-kawan, salam dengan cikgu ketika sampai dan pulang, semuanya ALLAH akan beri pahala. Apabila kita dapat banyak pahala, harapnya ALLAH akan masukkan kita ke dalam syurga.

Humaira       : Ha, dalam syurga ada aiskrim bukan, ayah? Ada sungai yang kita boleh mandi, bukan?

Ayah            : Ya, semua ada. Semua Humaira boleh dapat. Kalau Humaira nak masuk syurga, kena selalu minta maaf dengan ALLAH, dan kena selalu minta dengan ALLAH supaya ALLAH beri Humaira masuk syurga.

Humaira       : Macam mana nak minta maaf dengan ALLAH, ayah?

Ayah            : Okey. Kalau Humaira nak minta aiskrim atau mainan dengan ayah, macam mana Humaira minta?

Humaira       : Ayah… Humaira nak aiskrim, boleh? (sambil tersengih dan malu-malu)

Ayah            : Sama jugalah kalau Humaira nak minta dengan ALLAH. Sekarang cuba Humaira minta maaf dan minta masuk syurga dengan ALLAH pula.


Si Ayah cuba mengajarkan Humaira konsep doa yang sebenar iaitu doa dari hati yang penuh sedar dan permintaan yang penuh dengan pengharapan.

Humaira       : ALLAH… Humaira minta maaf banyak-banyak. Humaira nak masuk syurga. Humaira takut masuk neraka, nanti kena bakar dengan api. Tolonglah.

Ucap Humaira dengan suara yang halus tapi penuh dengan harapan dari hati yang jernih daripada dosa. Wajahnya sayu dan kepalanya ditundukkan.

Humaira       : ALLAH... Humaira nak masuk syurga sangat-sangat. Tolonglah Humaira.....



* Anak-anak perlu di ajar untuk berdoa sejak kecil lagi. Bukan hanya sekadar mengajar doa-doa di dalam Bahasa Arab, tetapi ajarkan juga konsep doa sebenar kepada mereka iaitu permintaan penuh pengharapan kepada ALLAH. Ketika usia mereka masih di peringkat awal kanak-kanak, tidak perlu kita bebankan mereka dengan hafalan doa yang panjang agar mereka tidak merasa bosan. Pada usia sebegini, mereka perlu dilentur dengan doa-doa yang mudah dahulu dan kita perlu sentiasa ingatkan mereka untuk sentiasa berdoa dalam apa jua situasi seperti ketika menaiki kenderaan, memakai pakaian, dan sebagainya.





Wednesday, July 27, 2011

AHLAN WASAHLAN, YA RAMADHAN...

Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintupintu syurga dan ditutup padanya pintupintu neraka, ditambat padanya syaitansyaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.
Hadith dikeluarkan oleh Ahmad, alNasa`ie daripada Abi Hurairah.



Takrif Puasa

Dari segi bahasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap.

Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang
perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam
dengan niat puasa.



Kelebihan dan Keutamaan Ramadhan

1. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah!, dan wahai  orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah! ,  dan  (yang  ikhlas)  kerana Allah, akan dibebaskan dari api neraka, dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam (Ramadhan).
(Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)


2. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampun segala dosa-dosanya yang terdahulu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Sabda Rasulullah:
“ Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya keranaKu.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk (kasturi).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘Al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorangpun selain mereka, diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorangpun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorangpun.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

5.  Daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda:
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.”
(Riwayat Ibn Majah dan alHakim)

6. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah  bersabda:
Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.”
(Riwayat alBaihaqi) 


7. Daripada Abi Sa`id:
“Siapa yang berpuasa sehari sematamata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahannam selama 70 tahun.
(Riwayat alNasa`ie)

8. Daripada Ibn Umar dan alDailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda:
Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.”
(Riwayat Ibn Mandah)


          Jadi , apa yang anda tunggu lagi? Marilah sama-sama kita memperbanyakkan segala amalan kita ketika bulan Ramadhan. Semoga segala apa yang telah dijanjikan oleh ALLAH akan kita perolehi dan semoga buku amalan kita penuh dengan catitan kebaikan semata-mata. Insya-ALLAH, amiin.




Saturday, July 23, 2011

BEGINI SAYANG (kisah 2)...

DI MANA ALLAH?


Humaira       : Ibu, ALLAH duduknya di mana?

Ibu              : Sebenarnya ALLAH sangat dekat dengan kita, sayang. ALLAH ada di mana-mana sahaja.



“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
- Surah Al-Baqarah; ayat 186 –



Humaira       : ALLAH ada rumah tidak, ibu?

Si Ibu terdiam seketika. Mana mungkin dia bercerita  tentang Arasy ALLAH seperti dalam Surah Al-Furqan, ayat yang ke-59:



“Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang ALLAH) kepada yang lebih tahu (Muhammad) tentang Dia.”



Ibu              : ALLAH tiada rumah macam kita, sayang. ALLAH ada bersama-sama kita.

Humaira       : Eh, dulu ayah kata Kaabah itu rumah ALLAH. ALLAH tak duduk di situkah?

Ibu              : Memang betul Kaabah itu dipanggil sebagai rumah ALLAH. Tetapi ALLAH hebat, ALLAH tak perlukan rumah macam kita. ALLAH tak perlu duduk di situ. Kaabah itu arah kita solat. Jadi bila semua orang Islam solat, semua akan menghadap Kaabah. Mudahlah sikit, bukan?

Humaira menunjukkan wajah keliru.

Ibu              : Okey, sekarang cuba Humaira bayangkan. Kalau kita solat jemaah, ibu solat menghadap sana, ayah menghadap sini, Humaira pula menghadap belakang (sambil tangan menunjukkan arah-arah yang bertentangan). Mesti pening! Betul, tidak?

Humaira       : Isy,,,tak boleh, tak boleh!

Ibu              : Betul, mana boleh solat macam itu. Sebab itu ALLAH perintahkan kita solat menghadap kiblat, supaya apabila solat semua orang akan menghadap satu tempat saja. Jadi, manusia tak akan bergaduhlah apabila nak solat. Humaira faham tak sekarang ni kenapa adanya Kaabah? Kaabah bukan rumah tempat ALLAH tinggal, tapi tempat orang Islam menghadap semasa beribadat.

Humaira       : Oh, begitu. Habis, ALLAH tinggal di mana?

Ibu              : ALLAH ada di mana-mana sahaja, sayang. Dia sangat dekat dengan kita, sebab itulah apabila kita berdoa ALLAH dengar. Apabila kita susah, ALLAH tolong. Apabila kita sakit, ALLAH sembuhkan. Betul tak? Oleh sebab itu, kita mesti sentiasa buat apa yang ALLAH suruh, dan apa yang ALLAH marah kita tak boleh buat.

Humaira mengangguk.




* Dalam mengajar anak-anak tentang ALLAH, pelbagai persoalan yang ganjil-ganjil daripada mereka akan timbul, terutamanya tentang akidah dan hakikat kewujudan-Nya. Deria mereka masih mentah untuk mengimani perkara-perkara ghaib. Justeru, kitalah bertanggungjawabuntuk memperjelaskan persoalan akidah yang sukar dengan menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami. Di samping itu, contoh-contoh yang boleh dibayangkan oleh anak-anak juga penting kerana anak-anak kecil suka berimaginasi. Oleh itu, sebelum menjawab, fikirkan dahulu dengan bersungguh-sungguh supaya kefahaman anak-anak tidak bercelaru.

Friday, July 15, 2011

BEGINI SAYANG (kisah 1)

Siapa Ciptakan Allah?

      Ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, Humaira tiba-tiba berbicara memecahkan kesepian di dalam kereta.
Humaira       : Ayah, kereta, siapa yang ciptakan?

Ayah            : Hmmm…kereta, manusia yang ciptakan. Tapi kereta diperbuat daripada besi dan besi diciptakan oleh ALLAH.

Humaira       : Ohhh…(sambil mengangguk)


Beberapa ketika kemudian,
Humaira       : Ayah, pokok, siapa yang ciptakan?

Ayah            : Pokok, ALLAH yang ciptakan.

Humaira       : Awan?

Ayah            : ALLAH.               

Humaira       : Bukit?

Ayah            : ALLAH.

Humaira       : Padi?

Ayah            : ALLAH.

Humaira       : Jalan?

Ayah            : Jalan manusia yang ciptakan. Tapi jalan diperbuat daripada batu, dan batu ALLAH yang ciptakan macam ayah cakap tadi.

Humaira       : Ohhhh. Ujar Humaira sambil mengangguk sekali lagi.


Humaira       : Ayah, siapa yang ciptakan ALLAH?

Ayah terdiam seketika. Humaira lantas mengulang kembali persoalannya dengan lebih kuat dan tegas.

Humaira       : Ayah, siapa yang ciptakan ALLAH?

Ayah            : Sayang, ALLAH tiada siapa yang menciptakannya, tapi ALLAH yang menciptakan semua benda.

Humaira       : Tapi macam mana ayah?

Ayah            : Hmmm...memang begitu. Tidak ada yang menciptakan ALLAH, sebab semuanya ALLAH yang ciptakan. Memang tidak ada yang menciptakan ALLAH, sebab ALLAH adalah Pencipta segala-galanya.

Humaira       : Ayah, macam mana ALLAH ciptakan benda-benda?

Ayah            : Sayang, begini. Apabila ALLAH nak ciptakan sesuatu benda, ALLAH akan sebut ‘Jadi!’, maka benda itu akan terjadi. Contohnya, ALLAH nak jadikan bintang, ALLAH akan sebut ‘Jadi!’ dan bintang itu pun akan ada.

Humaira       : Ohhhh...



“ALLAH Pencipta langit dan bumi, dan apabila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: ‘Jadila’. Lalu jadilah ia.”
(Surah Al-Baqarah : ayat 117)




* Ibu bapa berperanan besar untuk menyemai rasa kehebatan ALLAH sejak dari awal lagi agar ketika mereka dewasa kelak, perasaan kagum pada ALLAH akan menjadi pelindung mereka daripada melakukan perkara-perkara kejahatan.

...BEGINI SAYANG...

“Hak seorang anak adalah kamu hendaklah menyedari bahawa dia berasal daripada kamu. Jika dia baik atau jahat, semuanya berkait dengan kamu. Kamu adalah bertanggungjawab untuk membesarkan, mendidik dan membimbingnya ke jalan Allah serta membantunya menjadi anak yang taat. Kamu wajibmelakukan sedemikian sehingga jika kamu berbuat baik kepadanya, kamu yakin kamu akan mendapat ganjaran dan jika kamu berbuat tidak baik kepadanya, kamu akan mendapat siksaan.”
(Mutiara kata dari cicit Rasulullah s.a.w., Imam As-Sajjad ibn Hussain ibn Ali ibn Abi Talib)


Anak-anak merupakan permata ibu bapa, namun menggilapnya tidaklah semudah yang disangka. Mereka seumpama kain putih yang harus diwarnakan dengan warna-warna yang disukai oleh ALLAH s.w.t. Mendidik anak yang masih rebung merupakan peringkat yang paling kritikal dalam pentarbiahan anak-anak. Jika salah konsep dan cara pentarbiahan, takut-takut anak soleh dan solehah yang diharapkan tidak kesampaian. Segala yang diterima oleh minda mereka ketika masih kecil akan dibawa oleh mereka sehingga remaja dan dewasa. Oleh itu, kemahiran yang tinggi dan ilmu pengetahuan yang mendalam amat diperlukan agar mereka menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang mulia dan bakal menjadi khalifah yang akan memakmurkan muka bumi ALLAH ini. Insya-ALLAH.

          Tentu ada di antara anda ada yang pelik dan tertanya-tanya. Nape la mula je entry dah keluarkan mutiara kata pasal anak? Actually saya nak share tips-tips untuk menjawab pertanyaan anak-anak yang masih kecil dan baru mula nak belajar mengetahui dan mengenali sesuatu perkara. Tips tersebut diadaptasi dari buku terbitan Galeri Ilmu iaitu “Begini Sayang”, hasil karya Mohd Hisham Mohd Sharif dan Hasifah Zainuddin.


Buku ini merupakan garapan dari  kisah yang di alami sendiri oleh pasangan suami isteri ini bersama dengan anak-anak mereka, Humaira yang baru berusia 5 tahun dan Khadijah Hanan (berapa bulan tak ingat...huhuhu). Terdapat 40 kisah dan jawapan di dalam buku ini. Namun demikian, saya hanya akan berkongsi beberapa kisah yang menarik perhatian saya sahaja. (kalau nak tau lebih lagi kena la beli buku nie... xde la mahal sangat pun...cuma RM19)

          Saya sendiri sedar dalam melayani segala pertanyaan dan kerenah anak-anak buah saya (umur baru 22 tahun..tapi dah de 12 orang anak buah...ramai tak?...hehehe), saya tidak pernah dan tidak terlintas di fikiran saya untuk menjawab segala pertanyaan mereka dan mengaitkan dengan ketauhidan kepada Allah. Alhamdulillah, buku ini berjaya menyedarkan saya dan mungkin saya boleh praktikkannya juga kepada anak-anak saya suatu hari nanti. Insya-ALLAH. (boleh gak guna untuk sape-sape yang ada adik-adik kecil ^_^ )


“Wahai Tuhan kami,
jadikanlah kami beroleh daripada isteri serta zuriat keturunan kami,
perkara-perkara yang menjadi penyejuk hati kami,
serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertakwa.
Amiin.”


* Kredit kepada sahabat yang memperkenalkan buku ini kepada saya...thanx banyak-banyak...jangan lupa semak assignment saya (^_^)