Dia duduk menghadap laptop di
hadapannya. Langsung tidak menghiraukan si dia yang tengah menonton televisyen
– ceramah bersama Dato Masyitah. Siaran OASIS astro itu telah pun bertukar
kepada Indahnya Iman yang bermaksud akan masuk waktu ...solat. Tiba-tiba, si
dia bangun dan memandang dia yang tengah khusyuk membelek laptop di hadapan. “Abang,
maghrib dah nak masuk. Kita jemaah ya.” Si dia yang duduk di hadapan laptop itu
senyap. Tersentak sebenarnya. Mana pernah solat. Nak jadi imam?
Huh,lawak antarabangsa betul. Macam
mana dia boleh kahwin dengan ustazah ini pun tak tahu lah. Salah abahlah ni,
pandai-pandai nak tentukan jodoh orang. Cari yang stok tudung labuh pulak tu.
Okay, salah aku juga sebab pergi teguk kencing syaitan tu sapa suruh. Okay, salah
aku lagi, angkut entah mana-mana perempuan untuk hiburan. Okay, salah lagi
sebab selalu je aku balik lepas subuh sebab pergi kelab dan balik mabuk.
Okay, salah aku lagi, duit syarikat
abah habis aku joli kan. Banyaknya salah aku. Jadinya, abah kahwinkan aku
dengan Siti Syahirah binti Hj. Amran ni. Bukan itu je, abah hantar aku dengan
dia duduk dekat Kepala Batas, Pulau Pinang ni. Itu okay lagi, abah ambil kereta
sport aku – dan aku kena guna kereta isteri aku ni. Abah suruh aku uruskan
syarikat dia dekat ceruk ni. Nak enjoy pun tak boleh, sebab ini Pulau Pinang
bukan Kuala Lumpur. Enjoylah aku dengan laptop ni. Baru sehari duduk rumah ni,
aku dah nak gila. Belum seminggu lagi. Kalau sebulan? Huh.
“Abang dengar tak?. Macam cakap dengan
laptop tu je.” “Hmmm, saya sembahyang dekat surau.” Ek, macam mana ayat tu
keluar. Huh, surau pun aku tak tahu dekat mana. Nak lari dari jadi imam
sebenarnya. “Saya ikut. Jap saya siap.” Si isteri telah pun hilang di pandangan
mata. Aiman tersentak. Aduh, dia nak ikut pulak. Laptop di matikan. Dia duduk
di sofa sementara menanti si isteri bersiap. Fikiran ligat memikir dekat mana
surau.? “Abang, dah siap.” Aiman memandang isterinya yang lengkap bertudung
labuh saiz 60 dengan t-shirt muslimah dan seluar track-suit. Cantik! “Abang..?”
Aiman tersedar. “Jom.” Kunci kereta di atas meja di capai. “Saya bawa kereta
awak, tak kisah?” tanya Aiman ragu-ragu. Syahirah senyum. “Harta saya harta
abang juga.” Aiman hanya mengangguk. Dalam kereta, hanya dengar radio Hot FM refleksi.
Aiman dah tak tentu arah. Syahirah yang
dari tadi perhatikan itu macam nak ketawa. Rasanya asyik ulang-ulang je jalan
ni. “Abang, surau belok kiri tu.” Aiman hanya diam. Malu. Kereta di belokkan
pada arah yang diberitahu isterinya. Mereka telah pun tiba di hadapan surau
As-Syakirin. Aiman masih tidak mematikan enjin. Syahirah pun tidak keluar lagi
dari kereta. Aiman melihat dirinya yang hanya bert-shirt dan seluar track-suit.
Aduh, mana bawak kopiah ke? Songkok ke? “Err, Ira..” Syahirah menoleh. Mana ada
orang pernah panggil dia Ira. Pertama kali dengar. “Ya?” “Okay ke saya pakai
macam ni? Mana tahu kene halau ke nanti?” Syahirah senyum. “Jangan risau yang
menilai itu Allah bukan manusia. Kalau niat kita kerana-NYA, insyaAllah.
Pakaian abang ni dah okay dah ni.” Aiman terdiam. Tak pernah sebelum ini dia
bercakap dengan orang masuk bab-bab agama. “Jom.” Ajak Syahirah. “Hmmm.” Enjin
kereta di matikan.
Malam itu Aiman duduk di ruang tamu
menonton televisyen. Teringat tadi imam itu bagi ceramah tentang solat. “Solat
itu tiang agama. Kalau tak solat umpama kita meruntuhkan agama.” Teringat diari
isterinya yang dia jumpa tadi. Terbaca,
“Saya nak suami yang soleh! Ya Allah makbulkan doa hamba.” Aku tak
adalah baik sangat. Kenapalah kau kahwin dengan aku. Kesian kau dapat aku jadi
suami. Aku jahil agama! Aku dah jauh terpesong! Seperti ada suara yang datang
dalam fikirannya, ‘Tapi kau boleh berubah. Allah Maha Pengampun.!’ Televisyen
di hadapannya itu di pandang kosong.
Berubah? Teringat juga dia amaran abang
iparnya. “Aku bagi amaran dekat kau, jangan sesekali berani angkat tangan kau
ni dekat adik aku lagi. Jangan pernah kau buat dia menangis.” Aiman hanya
mendengar amaran keras Shahir sewaktu mereka berduaan di dalam kereta sebelum
ke rumah mertuanya. “Ingat…! Aku dapat tahu hidup adik aku sengsara, hidup kau
jugak sengsara! Jangan kau buat perangai buruk kau tu. Aku dapat tahu, aku
terus pergi Kepala Batas tu. Kau faham tak?” Aiman hanya mengangguk.
Huh,garang! Syahirah memandang suaminya yang duduk di sofa itu. Dia senyum. Dia
ke belakang Aiman dan menutup mata Aiman dengan tangannya. “Cuba teka ini
siapa?” kata Syahirah dengan suara yang di buat-buat macam suara lelaki. Aiman
yang tengah berfikir itu terkejut. Tiba-tiba pandangannya gelap. Lama.
Senyumnya terukir apabila mendengar suara Syahirah. “Hmmm, Tom Cruise..”
main-main Aiman. “Salah! Tom Cruise tak reti cakap melayu!” Aiman ketawa. “Hmmm,
Hj. Amran.” Syahirah pula ketawa. “Salah! Hj.Amran dekat Johor.” “Haa!
Tahu..tahu..Syah!” Syahirah kerut dahi. “Syah mana?” “Syahirah.” Aiman menarik
tangan isterinya agar duduk di sebelahnya.
Cepat sungguh si Syahirah ni mesra.
Ingat kan stok yang pendiam. Terkejut juga tiba-tiba si isteri ini nak beramah
mesra, tapi saudara-mara dia ada kata yang Syahirah ini jenis yang ceria dan
dia pula jenis yang boleh je ‘masuk’. “Abang buat apa?” “Tak ada apa-apa. Saya
nak tanya awaklah..” “Tanya apa?” “Errr..kenapa awak terima lamaran abah untuk
kahwin dengan saya?” “Sebab Allah.” Aiman diam sebentar. “Tak faham.” “Saya
buat solat istiharah. Minta petunjuk dari-Nya.” Aiman senyap. Rasanya tak ada
apa yang hendak di katakan lagi. Sebak tiba-tiba.
Seminggu
berlalu….
“Abang, saya tak reti masak.” kata
Syahirah yang tengah bercekak pinggang di dapur itu. Terkejut juga Aiman. Nak
makan apa kalau isterinya ini tak reti masak. Hari-hari makan kedai bankruplah.
Dah lah abah tak bagi duit banyak. Nak berkata sesuatu tetapi tak terluah sebab
teringat ayat dalam diari isterinya. “Lelaki bising perempuan tak reti masak!
Habis, kalau lelaki tak reti jadi imam itu!” Walaupun ayat itu di tulis dalam
diari dan bertarikh sebelum mereka bernikah lagi tetapi amat terkesan dalam
hati Aiman. “Macam mana ni abang?” kata Syahirah sayu. Aiman menggaru kepala.
Tak tahu nak jawab apa. “Tak apalah, lepas ni kita sama-sama belajar masak.”
“Maaf, ya abang..” Aiman senyum. “Tak
apa.” Aiman keluar dari dapur. Syahirah rasa bersalah. Itulah! Umi selalu suruh
masuk dapur belajar masak. Buat malu je. Sedang Syahirah berfikir di bar dapur
itu, Aiman masuk dengan membawa laptop. “Abang nak buat apa bawa laptop ke
dapur?” “Belajar masak guna internet.” Aiman senyum dan mengangkat kening.
Syahirah senyum. “Huish masin.” Komen Syahirah. Aiman mengambil gulai di
hadapan isterinya itu. “Abangkan yang masak ni?”, kata Syahirah lagi. Aiman rasa
dan ketawa. “Okay lah ni. Haa, awak punya sayur campur ni tawar! Tak rasa
apa-apa..” komen Aiman pula. “Okay apa..” “Its okay. Gulai itu banyak garam,
sayur awak tak rasa apa-apa. Campur je semua. Gulai sayur.” “Boleh ke macam
itu?” “Boleh je.” “Okay..” “Dah makan cepat. Nanti tak sempat nak siap pergi
surau.” Aiman langsung tak sedar apa yang dia cakap.
Ajak orang pergi surau? Ajak isterinya?
Huh, sejak bila jadi geng surau ni. Syahirah senyum. Dah ada perubahanlah abah
! “Ustaz.” Panggil Aiman pada insan yang baru selesai mengimami solat Maghrib
itu. Ustaz itu menoleh. “Ya?” “Saya nak…” “Nak apa?” Aiman malu untuk berkata.
Tapi sedaya upaya dia cuba luahkan. “Anak nak apa?” “Saya nak belajar agama.”
Terluah juga. Ustaz itu senyum. “Mari.” Selesai solat Isyak tadi Syahirah terus
keluar dari surau. Lama dia menunggu Aiman di kereta.
Senyum terukir apabila melihat Aiman
menghampiri bersama seorang lelaki separuh umur. “Ustaz kenalkan isteri saya.”
Aiman kenalkan Syahirah pada lelaki itu. Syahirah hanya senyum dan mengangguk.
“Baguslah. Muda-muda kahwin sama-sama pergi surau.” Aiman sentak. Walau apapun
senyum paksa di beri. “Alhamdulillah ustaz, Allah beri suami yang soleh macam
Aiman ni.” kata-kata Syahirah membuatkan Aiman terdiam. “Alhamdulillah, semoga
kalian berbahagia hingga ke syurga.” “Terima kasih ustaz.” Aiman bersuara. Ustaz
itu menepuk bahu Aiman. “Baiklah, saya balik dulu. Assalammualaikum.” “Waalaikumsalam.”
Jawab Syahirah dan Aiman serentak.
Aiman duduk di birai katil dengan mata
memandang Syahirah yang tengah mengemas bajunya ke dalam bagasi. “Lamanya abang
pergi..” Aiman tersedar. “Hmm, seminggu je.” Ya,dia kata dengan Syahirah ada
urusan kerja sebenarnya dia mahu ke pondok agama untuk belajar agama dengan
ustaz yang dia jumpa sewaktu di surau kelmarin.
Rasanya dia perlu berubah. Sampai bila
dia nak mengelak untuk menjadi imam dalam keluarganya. Sampai bila dia nak
terus jahil. Sampai bila dia nak membiarkan isterinya keseorangan tanpa
bimbingan seorang suami. Sampai bila dia nak terus hipoktrik mengikut Syahirah
ke surau tetapi tak tahu apa-apa. Sudah tiba waktunya dia berubah. “Seminggu tu
lama tauu..” lirih Syahirah. “Pejam celik, pejam celik sekejap je tu..” “Kalau
pejam tak celik-celik?” tersentak Aiman apabila mendengar ucapan isterinya itu.
Sudah, rasa berat pula dia nak tinggalkan si Syahirah ni. Aiman memandang
Syahirah. “Apa awak cakap ni..” lembut dan ada nada risau di situ. Syahirah
ketawa halus. “Gurau je lah. Abang ni cepat betul sentap.” Aiman diam. “Tak yah
lah kemas beriya-iya. Nanti yang lain saya kemas.” Isterinya tarik muncung. “Tak
mau lah, nanti kurang pahala.”
2 comments:
hmm...besh cite ni
sape la yg bg agknye? =)
Post a Comment